Merafakkan doa kesembuhan, kesihatan, keafiatan Kebawah DYMM




Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas





MANGGIS/MADANG, Isnin, 19 Januari. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) petang tadi meneruskan pelaksanaan Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Khas bagi memohon kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Majlis berkenaan diadakan di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis/Madang, di sini.


Hadir bagi sama-sama menunaikan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, membaca Surah Yaa Siin dan Doa Khas, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.


Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap, KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim; Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD, Kampung Manggis/Madang, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili, Dato Paduka Haji Said bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim dan Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas; pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan di bawah KHEU, ahli jawatankuasa takmir dan Muslimah Masjid SSBRPAD, Kampung Manggis/Madang dan juga jemaah masjid serta penduduk kampung sekitarnya.


Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Tingkat III, Masjid SSBRPAD, Kampung Manggis/Madang, Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani, yang juga mengepalai bacaan Surah Yaa Siin.


Manakala bacaan Doa Khas bagi memohon kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kesyukuran atas kelancaran dan kesempurnaan pembedahan baginda dipimpin oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Jabatan Majlis Ugama Islam, KHEU, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.


Majlis kemudiannya diikuti dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah.


Majlis berkenaan melambangkan kesetiaan, keprihatinan dan kasih sayang rakyat terhadap raja yang dikasihi dengan bersama-sama memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar mengurniakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan kesembuhan yang segera, kesihatan dan keafiatan yang sempurna lagi berpanjangan.


Penganjuran majlis berkenaan juga bertujuan untuk menyuburkan amalan kerohanian, mengeratkan perpaduan ummah, serta menzahirkan bahawa doa merupakan senjata dan utama umat Islam dalam menghadapi apa jua keadaan, selaras dengan konsep Negara Zikir yang berteraskan ajaran Islam.


Close